Dulu aku selalu menganggap diri aku ini sebuah
rumah. Walau sejauh mana kau lari, kau mengembara, kau akan pasti pulang ke
kampung halamanmu. Sungguh. Aku membayangkan itu. Walau bukan lagi sebagai yang
teristimewa dihati, cukuplah sekadar kawan.
Tiga tahun berlalu. Cuba lagi untuk pujuk hati
ini supaya bersabar. Bukan mudah. Tiga tahun bukan mudah. Kalau dihitung hati
ini menangis, mungkin kau sendiri akan terkejut kalau ditukar ganti dengan
nilai. Mahal.
Benar kata Emak. Bila berjauhan, itulah
refleksi diri. Menghitung kesalahan diri serta muhasabah diri. Tiga tahun itu
-- puas berjuang melawan rasa sendiri. Akhirnya aku tertewas pada takdir. Walau
betapa kita inginkan itu, kalau Dia tidak mengizinkan sesuatu yang kita impikan
berlaku, jangan pernah bermimpi untuk mengapai sesuatu, tanpa izinNya. Jangan.
Terima kasih Tuhan. Tiga tahun ini buat aku kenal diri.
Rumah mungkin akan masih disitu. Ya, aku masih
disitu. Tapi tak sekukuh dulu. Tiga tahun bukan semudah yang kalian bayang.
Kalau bayi kecil mungkin kini sudah pandai bertutur, berjalan. Sudah kenal
dunia. Begitu juga aku. Tiga tahun mengajar aku macam-macam. Rumah tanpa
penghuni, tiga tahun mungkin aku didiami anai-anai. Bersawang dek habuk. Tunggu
masa untuk rebah jatuh tersungkur.
Tuhan halang aku dapatkan apa yang aku mahu,
dan aku letakkan setinggi-tinggi harapan aku pada jalan ketentuanNya kini. Semoga aku mendapatkan yang selayaknya untuk
aku. Sudah masanya aku berudur sebenar-benar undur. Kalau sebelum ini berundur
dengan harapan kau kembali mengejar, tapi kini aku ingin mengundur tanpa pernah
menoleh. Walau kau kejar, walau kau baling batu sekalipun, takkan pernah aku
menoleh. Ini penamat yang aku harap takkan ada sambungan mahupun bahagian
kedua. Aku harap ini tertutup tanpa terbuka. Aku harap itu.
Tiga tahun ini mengajar aku mengenal diri.
Sungguh. Aku kini belajar mengenal diri aku. Mengenal siapa-siapa yang berada
disekeliling aku. Mengenal mereka-mereka yang selayaknya untuk aku. Maaf. Aku
tidak kotakan janji untuk bersama susah senang. Terlalu berhalangan untuk aku,
si penjanji untuk tunaikan janji tanpa kebenaran hati si penerima janji.
Tertanya mana tercampak aku dalam hati si penerima janji
Dan aku tak tahu siapa harus aku salahkan. Rumah
itu perlahan-lahan roboh. Akukah yang tidak menjaganya? Atau engkau, si pemilik
rumah yang tidak kembali?
Sungguh. Takkan aku sesali tiga tahun ini. Aku
mungkin ada, tanpa kau sedari. Aku akan sentiasa menjadi si pemetik biola dalam
drama Boy Over Flower yang aku lupa namanya. Sentiasa menyokong, membantu,
biarpun si empunya diri tidak mengetahui.
“Tidak
ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan
izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya
(untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar ); dan
(ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.”
2 comments:
kata-kata yang sangat bermakna =)
Hidup ini satu proses untuk berubah menjadi lebih baik sebenarnya. Allah swt hadirkan orang-orang di sekeliling kita mungkin untuk kita belajar mengenal diri yang kita takdelah tak sebest yang mungkin kita pernah fikir, hehe =D
penuh makna. :)
Post a Comment