Saturday, January 26, 2013

#random post


Dulu aku selalu menganggap diri aku ini sebuah rumah. Walau sejauh mana kau lari, kau mengembara, kau akan pasti pulang ke kampung halamanmu. Sungguh. Aku membayangkan itu. Walau bukan lagi sebagai yang teristimewa dihati, cukuplah sekadar kawan.

Tiga tahun berlalu. Cuba lagi untuk pujuk hati ini supaya bersabar. Bukan mudah. Tiga tahun bukan mudah. Kalau dihitung hati ini menangis, mungkin kau sendiri akan terkejut kalau ditukar ganti dengan nilai. Mahal.

Benar kata Emak. Bila berjauhan, itulah refleksi diri. Menghitung kesalahan diri serta muhasabah diri. Tiga tahun itu -- puas berjuang melawan rasa sendiri. Akhirnya aku tertewas pada takdir. Walau betapa kita inginkan itu, kalau Dia tidak mengizinkan sesuatu yang kita impikan berlaku, jangan pernah bermimpi untuk mengapai sesuatu, tanpa izinNya. Jangan. Terima kasih Tuhan. Tiga tahun ini buat aku kenal diri.

Rumah mungkin akan masih disitu. Ya, aku masih disitu. Tapi tak sekukuh dulu. Tiga tahun bukan semudah yang kalian bayang. Kalau bayi kecil mungkin kini sudah pandai bertutur, berjalan. Sudah kenal dunia. Begitu juga aku. Tiga tahun mengajar aku macam-macam. Rumah tanpa penghuni, tiga tahun mungkin aku didiami anai-anai. Bersawang dek habuk. Tunggu masa untuk rebah jatuh tersungkur.

Tuhan halang aku dapatkan apa yang aku mahu, dan aku letakkan setinggi-tinggi harapan aku pada jalan ketentuanNya kini.  Semoga aku mendapatkan yang selayaknya untuk aku. Sudah masanya aku berudur sebenar-benar undur. Kalau sebelum ini berundur dengan harapan kau kembali mengejar, tapi kini aku ingin mengundur tanpa pernah menoleh. Walau kau kejar, walau kau baling batu sekalipun, takkan pernah aku menoleh. Ini penamat yang aku harap takkan ada sambungan mahupun bahagian kedua. Aku harap ini tertutup tanpa terbuka. Aku harap itu.



Tiga tahun ini mengajar aku mengenal diri. Sungguh. Aku kini belajar mengenal diri aku. Mengenal siapa-siapa yang berada disekeliling aku. Mengenal mereka-mereka yang selayaknya untuk aku. Maaf. Aku tidak kotakan janji untuk bersama susah senang. Terlalu berhalangan untuk aku, si penjanji untuk tunaikan janji tanpa kebenaran hati si penerima janji. Tertanya mana tercampak aku dalam hati si penerima janji

Dan aku tak tahu siapa harus aku salahkan. Rumah itu perlahan-lahan roboh. Akukah yang tidak menjaganya? Atau engkau, si pemilik rumah yang tidak kembali?

Sungguh. Takkan aku sesali tiga tahun ini. Aku mungkin ada, tanpa kau sedari. Aku akan sentiasa menjadi si pemetik biola dalam drama Boy Over Flower yang aku lupa namanya. Sentiasa menyokong, membantu, biarpun si empunya diri tidak mengetahui.

 “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar ); dan (ingatlah)  Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

2 comments:

Miss Purple said...

kata-kata yang sangat bermakna =)

Hidup ini satu proses untuk berubah menjadi lebih baik sebenarnya. Allah swt hadirkan orang-orang di sekeliling kita mungkin untuk kita belajar mengenal diri yang kita takdelah tak sebest yang mungkin kita pernah fikir, hehe =D

Anonymous said...

penuh makna. :)